Pernah dengar? Anda juga boleh pelajari dialek Mesir secara lebih efektif melalui movie dan drama. Baca lagi di sini.

Macam mana nak cakap “rupa-rupanya” dalam dialek Mesir?
Ditulis pada: 18 Jul, 2021

Dalam dialek Mesir, untuk cakap “rupa-rupanya” kita gunakan fi’il طِلِعْ.

Ya, fi’il طِلِعْ ini biasanya dikaitkan dengan makna, “keluar” atau “naik”. Namun ada ketikanya juga, fi’il ini hadir dengan maksud, “rupa-rupanya”.

Fi’il ini berubah-ubah sesuai dengan kepada siapakah merujuknya “rupa-rupanya” itu.

Sebagai contoh:

“Budak lelaki itu rupa-rupanya pemutar belit.”

Budak lelaki itu: الوَادْ
Rupa-rupanya: طِلِعْ
Pemutar belit: نَصَّابْ

Soalan: Kenapa kita gunakan fi’il طِلِعْ yang mengandungi dhamir هوَّ?

Jawapan: Kerana dhamir هو itu merujuk kepada الوَادْ – budak lelaki itu. Sebagaimana kita baru saja bincang tadi; perujukan diri yang ada pada طِلِعْ berubah-ubah sesuai dengan kepada siapakah merujuknya perkataan “rupa-rupanya”.

Dalam ayat ini, “rupa-rupanya” ini merujuk kepada الوادْ.

Contoh 2:

“Pelajar-pelajar ini rupa-rupanya orang luar negara”.
الطُّلَّابْ دُولْ طِلْعُو أَجَانِبْ

Perkataan rupa-rupanya dalam ayat ini merujuk kepada “pelajar-pelajar ini” yang disebut sebelum itu. Sebab tu bentuk طِلْعُو mempunyai perujukan diri هُمْ yang kembali kepada الطلاب.

Contoh 3:

“Dulu aku sangka kau kawan, rupa-rupanya kau pengkhianat!”

كُنْتْ أَحْسِبَكْ صَدِيقْ وَالحَقِيقَةْ طِلِعْتْ خَايِنْ

Perkataan rupa-rupanya dalam ayat ini merujuk kepada “kau”. Sebab tu bentuk طِلِعْتْ mempunyai perujukan diri إِنْتْ.

Senang saja kan?

Hafal contoh dan terus praktis!

.

Ada soalan boleh tinggalkan kat komen di bawah.