Tahukah anda? Anda boleh belajar dialek Mesir dengan cara yang menarik dan berkesan melalui movie? Klik di sini.

Bersumpah guna والنبي – Jangan tiru!
Ditulis pada: 25 Jul, 2021

Dalam banyak keadaan, cara yang terbaik untuk menggunakan sesuatu bahasa ialah dengan meniru ‘sebijik-sebijik’ macam penutur asli (native speaker) gunakan.

Namun, ada beberapa keadaan, budaya yang menjadi kebiasaan masyarakat penutur jati tersebut tidak sesuai untuk ditiru. Contohnya, jika kita belajar American Accent, kita akan dapati sebahagian mereka menggunakan kata-kata yang tidak sesuai dalam percakapan.

Dalam dialek Mesir juga ada perkara begitu.

Antaranya ialah tabiat mereka suka bersumpah dengan nama Nabi.

Biasanya mereka akan tambahkan frasa sumpah وَالنَّبِيّ ketika mereka ingin meminta tolong daripada sesiapa untuk lakukan sesuatu.

Kedudukan frasa sumpah ini pula boleh berada di awal atau akhir ayat mereka.

Contoh:

“Tolong jangan beritahu perkara ini kepada sesiapa.”
وَالنَّبِيّ، مَتْقُولْشْ الكَّلَامْ دَهْ لِحَدّ!

Walaupun ada sebahagian ulama membenarkan ayat seperti ini, tetapi adalah lebih selamat jika kita tidak menggunakannya ketika bercakap Arab. Memandangkan dalam bahasa Melayu pun, bukan kebiasaan masyarakat kita untuk bersumpah dengan nama Nabi shallallah alayhi wa sallam.

Nabi Muhammad shallallah alayhi wa sallam merupakan insan paling mulia dan paling disayangi oleh setiap Muslim. Namun, berdasarkan sabda Nabi Muhammad shallallah alayhi wa sallam sendiri, kita tidak dibenarkan untuk bersumpah dengan selain Allah.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah shallallah alayhi wa sallam bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ بِاللهِ أَوْ لِيَصْمُتْ

“Barangsiapa yang bersumpah, hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah atau (jika tidak) hendaklah dia berdiam diri (tidak bersumpah).”

– Muttafaq ‘Alaiyh

.
Soalan:Jadi, apa kita nak buat supaya ayat nampak sedap sikit bila kita nak minta tolong orang?

Jawapan: Tambahkan doa di akhir ayat kita. Untuk permulaan, gunakan dua doa ini sahaja dulu. Nanti dah terbiasa, boleh tambah doa-doa lain lagi nanti.

١. الله يِخَلِّيكْ (L) / الله يِخَلِّيكِي (P)
٢. الله يِبَارِكْ لَكْ (L) / الله يِبَارِكْ لِكْ (P)

Kedudukan doa-doa ini berada selepas ayat suruhan yang mengandungi fi’il amar.

Contoh:

1. “Tolong tutup pintu masa kau nak keluar. Semoga Allah panjangkan umur kamu / Terima kasih.”

خُدْ البَابْ وَرَاكْ ، الله يِخَلِّيكْ.

2. “Bagi aku air sikit, semoga Allah berkati kamu.”

إِدِّينِي شُوَيِّتْ مَيَّاهْ ، الله يِبَارِكْ لَكْ

3. “Berhenti di tepi, terima kasih.”

أُؤَفْ عَلَى جَنْبْ ، الله يِخَلِّيكْ.

.
KESIMPULAN

Bawa balik 3 point penting daripada tulisan ini:

1. Elakkan guna وَالنَّبِيّ dalam pertuturan kita.

2. Jika orang Mesir bercakap dengan kita dan sebut وَالنَّبِيّ dalam ayat dia, bererti dia betul-betul minta tolong. Berilah bantuan mengikut kemampuan kita.

3. Apabila membuat ayat arahan / meminta tolong, tambahkan dua doa yang kita pelajari tadi di akhir ayat kita.

.
Dapatkan lebih banyak maklumat tentang bahasa harian yang digunakan oleh orang Mesir di Channel Telegram Nota Dialek Mesir: http://t.me/DialekMesir

Kongsikan Artikel Ini: